Keputusan kes Najib tidak seharusnya jadi titik akhir lawan kleptokrasi - Bersih

SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak seharusnya menjadi titik akhir kepada perjuangan menentang kleptokrasi dan rasuah di negara ini.Menurut Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menerusi kenyataan pada Sabtu, keputusan Mahkamah Tinggi serta sabitan terdahulu dalam kes SRC International juga perlu dijadikan pemangkin kepada perubahan sistemik, bukan sekadar penamat kepada perbicaraan berprofil tinggi.Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.Menurut kenyataan itu, pertuduhan, pendakwaan dan keputusan ini adalah rentetan daripada perjuangan panjang rakyat, aktivis dan pengamal media yang sanggup mempertaruhkan reputasi, kehidupan serta kesenangan demi membawa kleptokrat ke muka pengadilan."Keputusan ini juga perlu diterjemahkan melalui reformasi institusi yang menyeluruh dan berani," menurut kenyataan itu.Bersih turut mengimbas peranan perhimpunan Bersih 4 dan Bersih 5 yang digerakkan sebagai reaksi rakyat terhadap skandal kewangan terbesar negara, susulan pendedahan kemasukan RM2.6 bilion ke akaun seorang Perdana Menteri ketika itu.Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan keputusan mahkamah tidak membawa makna sekiranya kerajaan semasa gagal melaksanakan reformasi institusi dan reformasi pilihan raya bagi menghalang kemunculan kleptokrat baharu.Antara pembaharuan yang ditekankan termasuk reformasi kuasa pelantikan badan kehakiman, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya institusi berkenaan benar-benar bebas daripada pengaruh kuasa eksekutif.Selain itu, Bersih menggesa pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan segera bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa pendakwaan yang boleh bermotifkan politik.Dalam kenyataan sama, Bersih mengulangi gesaan agar kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak disambung, malah beliau wajar meletakkan jawatan susulan pendirian terdahulu SPRM yang menyifatkan wang dimasukkan ke akaun Najib sebagai derma."Agensi penguat kuasa perlu benar-benar bebas untuk berani membawa sesiapa sahaja ke muka pengadilan."Khususnya mereka yang diberi amanah memegang kuasa tetapi memilih untuk menyalahgunakannya demi kepentingan peribadi," katanya.Menurut kenyataan itu lagi, hanya melalui kebebasan institusi dan reformasi menyeluruh, kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara dapat dipulihkan.Gabungan itu turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang turun menyatakan pendirian menolak rasuah, sambil menegaskan budaya korupsi bukanlah budaya negara ini.Terdahulu, Najib dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, atas empat kes rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion, antara 2011 dan 2014 lalu.Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan Najib, 72, membayar denda sebanyak RM11.38 bilion.