KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan."Langkah ini bertujuan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan."Ia juga bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa selaras dengan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang mencapai umur persaraan wajib, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta.Menurut Mohamed Khaled, kementerian itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau.