Zulhelmy dilantik Pemangku Panglima ATM serta-merta

KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta susulan persaraan wajib Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.Pelantikan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan tertinggi ATM selepas Mohd Nizam menamatkan perkhidmatannya selaras dengan peraturan sedia ada.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti, kepimpinan serta sumbangan Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM."Beliau telah memberikan komitmen yang amat tinggi dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia."Kementerian turut mendoakan agar urusan persaraan beliau berjalan lancar serta sentiasa berada dalam keadaan sihat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Mohd Nizam sebelum ini dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-23 berkuat kuasa bermula 31 Januari lalu.Beliau sebelum ini merupakan Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.