Keputusan kes Najib: Peringatan keperluan perbaiki struktur kerajaan

SHAH ALAM – Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menyifatkan sabitan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu langkah penting ke arah akauntabiliti.C4 Center dalam kenyataan berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat itu membuktikan bahawa tiada individu mahupun pemimpin tertinggi negara kebal daripada tindakan undang-undang.Badan pemantau itu turut mengingatkan bahawa masih banyak kelemahan sistem dan struktur yang perlu diperbaiki, malah reformasi antirasuah juga belum dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengelakkan kes seperti skandal 1MDB itu berulang."Merujuk penghakiman oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, mahkamah telah membuat beberapa dapatan penting antaranya ‘derma Arab Saudi’, komplot menentang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat dan gambaran Najib tidak mengetahui salah laku yang berlaku di bawah pentadbirannya, yang diputuskan sebagai tidak munasabah’."Penghakiman tersebut turut menimbulkan persoalan serius terhadap keteguhan tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang di negara ini, sepertimana pegawai 1MDB mengikut arahan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, meskipun tidak memegang jawatan rasmi dalam syarikat itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Justeru, C4 Center turut mempersoalkan sama ada reformasi berkesan telah dilaksanakan terhadap pengurusan dan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC), berikutan pekeliling baharu berkaitan badan berkanun Persekutuan dan GLC di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih membenarkan pelantikan ahli politik ke jawatan kepimpinan, sekali gus membuka ruang kepada konflik kepentingan.Dalam kenyataan sama, C4 Center turut menggesa kerajaan memastikan Jho Low dibawa pulang untuk menghadapi pertuduhan berkaitan peranannya dalam skandal 1MDB."Peranannya dan hubungan kerja individu itu dengan Najib merupakan teras kepada keseluruhan operasi tersebut, selain menuntut agar pihak yang bersubahat dalam mengabsahkan naratif ‘derma Arab’ yang kini telah terbukti palsu dipertanggungjawabkan kerana terlibat dalam usaha menutup jenayah yang melibatkan bekas Perdana Menteri itu."Ini termasuk pasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihantar ke Riyadh untuk menyiasat kesahihan surat derma tersebut dan kemudiannya mendakwa bahawa ia sememangnya satu derma kepada bekas Perdana Menteri," katanya.C4 Center turut merujuk kepada penghakiman mahkamah bahawa lawatan ke Riyadh tersebut telah dirancang lebih awal dan bertujuan melengkapkan cerita berkaitan derma berkenaan."Adalah penting untuk diperhatikan bahawa ketua kumpulan yang menjalankan lawatan ke Riyadh itu berada di bawah penyeliaan Tan Sri Azam Baki, yang juga Ketua Pesuruhjaya SPRM."Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pernah menyatakan secara terbuka bahawa beliau bertemu wakil keluarga penderma bagi menyokong naratif derma tersebut."Perkembangan itu menimbulkan persoalan serius terhadap kredibiliti pihak-pihak yang terlibat, memandangkan ia digunakan untuk mempertahankan individu yang kini disabitkan bersalah atas rasuah. Semua yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan," ujarnya.Tambah kenyataan itu, parut yang ditinggalkan Najib menjadi peringatan tentang bahaya yang sentiasa wujud dalam sistem politik Malaysia, yang mana kuasa tertumpu di tangan Perdana Menteri dan mekanisme semak dan imbang tidak mencukupi.Katanya lagi, C4 Center sejak sekian lama menyeru kepada reformasi struktur seperti mekanisme pengawasan yang lebih kukuh dan pelantikan bebas bagi SPRM, kebebasan Pejabat Pendakwa Raya serta undang-undang yang mengawal selia sumbangan politik."Pentadbiran Anwar telah mengambil beberapa langkah ke arah memperbaiki mekanisme semak dan imbang ini, seperti memperkenalkan pindaan kepada Akta Audit 1957 bagi meningkatkan kuasa Ketua Audit Negara dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk memberikan Parlimen autonomi yang lebih besar dalam menguruskan urusannya."Namun, proses pelantikan dan tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM masih berada di bawah budi bicara tunggal Perdana Menteri. Walaupun terdapat perancangan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, masih belum ada pengesahan rasmi bahawa pejabat Pendakwa Raya yang baharu itu juga tidak akan dipilih oleh Perdana Menteri," katanya.Menurut kenyataan itu, kerajaan perlu melaksanakan pengukuhan rangka kerja antirasuah negara dan bukan sekadar latihan hiasan yang memenuhi keperluan di atas kertas semata-mata.