Keputusan kes 1MDB bukti kedaulatan undang-undang, bukan kemenangan politik - ABIM

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan manifestasi keadilan institusi yang menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya kemenangan politik atau kejatuhan individu tertentu.Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, meskipun keputusan masih tertakluk kepada proses rayuan yang dibenarkan undang-undang, pertimbangan mahkamah dibuat berdasarkan keterangan yang dikemukakan serta prinsip keadilan telus."la wajar diterima dengan penuh kematangan sebagai asas pemulihan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan institusi negara."Keadilan bukan hasil keberanian seorang tokoh semata mata, tetapi lahir daripada ekosistem perjuangan kebenaran yang melibatkan wartawan penyiasat, pemberi maklumat, pegawai institusi berintegriti, aktivis masyarakat sivil, ahli akademik serta rakyat biasa yang konsisten mempertahankan kebenaran walaupun berdepan tekanan serta risiko," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, atas empat kes menggunakan kedudukan untuk rasuah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion, antara 2011 dan 2014 lalu.Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Najib, 72, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.Dalam pada itu Ahmad Fahmi menegaskan, skandal 1MDB bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi jenayah terhadap amanah dan tamadun.Malah menurutnya, ia merompak masa depan generasi muda, merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan, mencemarkan nilai integriti dalam budaya politik serta menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa apabila menjadi sorotan global sebagai antara kes kleptokrasi terbesar dunia."Hakikat ini mencerminkan kegagalan tadbir urus akibat pemusatan kuasa tanpa mekanisme pengawasan berkesan serta tanpa sandaran nilai moral yang kukuh."Keputusan ini mesti menjadi pemangkin kepada reformasi kerajaan dalam struktur tadbir urus negara termasuk pengukuhan sistem semak dan imbang, kebebasan institusi kehakiman, ketelusan pengurusan dana awam serta penolakan budaya politik yang membina kultus individu."ABIM turut menggesa penilaian semula pemusatan kuasa eksekutif dan fiskal termasuk membincangkan keperluan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai langkah pencegahan jangka panjang," ujarnya.