JOHOR BAHRU - Kemalangan maut yang meragut dua nyawa di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai–Desaru awal pagi Sabtu dipercayai berpunca apabila sebuah kenderaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, laporan mengenai nahas melibatkan tiga kenderaan iaitu Proton Wira, Proton Saga dan Perodua Myvi diterima pada kira-kira jam 5.35 pagi.Menurut beliau, siasatan awal mendapati Proton Wira dipandu seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun dipercayai telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga yang dipandu lelaki tempatan berusia 21 tahun."Perlanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit berpusing sebelum berhenti di lorong kiri dan kanan lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, sebuah lagi kenderaan, Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita tempatan berumur 23 tahun dan bergerak di belakang Proton Saga tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Wira."Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira dan Proton Saga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian."Tiga penumpang Proton Wira serta pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah manakala seorang penumpang Perodua Myvi cedera ringan."Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail," katanya.Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.