'Tiada arahan ADUN Bersatu di Perlis tandatangan SD' - Muhyiddin

SHAH ALAM - Tiada arahan dikeluarkan kepada mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menandatangani sebarang akuan berkanun (SD), tegas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.Muhyiddin berkata, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis daripada parti tersebut setelah dititah oleh Istana Perlis.Justeru, kata beliau, pihaknya akan mendengar penjelasan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Perlis untuk mengetahui kedudukan sebenar isu itu."Saya ingin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dalam pelantikan Menteri Besar."PN juga menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin PN Perlis. Saya berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.Beliau berkata demikian mengulas perkembangan krisis politik di Perlis susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar pada Khamis lepas.Tambah Muhyiddin lagi, beliau yakin parti anggota PN mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu berbangkit secara berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran di negeri berkenaan.Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan dua nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri.Beliau menegaskan, pencalonan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan parti berkenaan yang masih memiliki majoriti kerusi DUN berbanding rakan komponennya dalam PN.Menurut Abdul Hadi, dua nama berkenaan dikemukakan bagi pertimbangan Raja Perlis sebagai calon paling sesuai untuk menerajui pentadbiran negeri dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu.Bersatu turut dilapor menyerahkan tiga nama ADUN sebagai calon Menteri Besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).Pergolakan di Perlis berlaku apabila terdapat lapan ADUN negeri itu mengisytiharkan tidak menyokong kepimpinan Mohd Shukri.Mereka didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) dan menyerahkannya kepada pihak Istana Perlis sebelum ini.Lapan ADUN tersebut terdiri daripada tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.Susulan itu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta berikutan pendirian mereka yang dikatakan telah hilang kepercayaan terhadap Mohd Shukri.Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.Kedudukan terkini, tiga kerusi Pas dikosongkan menjadikan jumlah kerusi DUN Perlis kini tinggal 12 terdiri daripada Pas (6), Bersatu (5) dan PKR (1).