Chegubard gesa SPRM beku akaun pegawai kanan tentera disiasat

SHAH ALAM - Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun milik pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah.Beliau berkata, pemilik akaun juga perlu disoal mengenai sumber jutaan ringgit dalam akaun peribadi masing-masing."Jika tiada tindakan ke atas akaun-akaun tersebut, saya tidak menolak (akan) menyiarkan butiran akaun terlibat meskipun melanggar Bafia (Akta Perbankan dan Institusi Kewangan) atau seumpamanya."PETA (Pembela Tanah Air) sudah bantu menyiapkan laporan siasatan perisikan lengkap yang memudahkan tindakan penguat kuasa," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebelum ini dilapor akan bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.Dalam pada itu Chegubard memaklumkan akan tampil membuat pendedahan lanjut berkaitan projek dan tender melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan penggantungan tugas Muhammad Hafizuddeain bagi membolehkan siasatan dijalankan.Pendedahan yang akan dibuat pada minggu hadapan itu katanya, akan melibatkan laporan siasatan lengkap yang disediakan PETA bagi membantu tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa."Saya juga akan memulakan pendedahan mengenai bakal Panglima Tentera Laut yang saya gagalkan lantikannya pada 2024, yang sebenarnya masih disimpan bekerja dengan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia)."Pada 2024 saya dilokap hampir seminggu kerana dedah dokumen rasmi kerajaan mengandungi bukti korupsi individu yang dikatakan bakal (dilantik) Panglima Tentera pada ketika itu."Kepada semua rasuah dan korupsi wajib kita lawan tidak kira siapa pelakunya," ujarnya.