SHAH ALAM – Lebih 90,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap menerusi 13,678 siri operasi di seluruh negara pada tahun ini.Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, jumlah itu direkodkan setakat 24 Disember hasil pemeriksaan ke atas 235,343 warga asing.Menurutnya, pemeriksaan tersebut turut melibatkan 5,294 individu yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)."Jumlah keseluruhan tangkapan PATI semasa operasi oleh jabatan ini ialah seramai 50,472 orang, manakala 41,357 orang lagi ditangkap di pintu masuk utama negara serta melalui serahan oleh agensi-agensi penguat kuasa lain," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Tambahnya, PATI paling ramai ditahan dalam operasi ialah warga Indonesia iaitu 15,385 orang, diikuti Bangladesh (11,105 orang), Myanmar (9,789 orang), Filipina (4,365 orang), Pakistan (2,497 orang), India (1,630 orang), Thailand (1,493 orang), China (1,038 orang), Vietnam (909 orang), Nepal (769 orang) dan selebihnya dari negara lain.Kata Lokman, bagi penahanan majikan yang menggaji dan melindungi PATI pula, tangkapan paling ramai membabitkan warga tempatan iaitu seramai 2,012 orang, manakala warga Bangladesh dan Indonesia masing-masing 34 dan 21 orang.Menurutnya lagi, warga Pakistan, China, Thailand dan Myanmar juga antara majikan yang turut diberkas."Pelbagai kesalahan PATI dikesan antaranya tidak memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas kerja. Operasi ini dijalankan susulan aduan serta risikan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai tumpuan pekerja warga asing termasuk golongan PATI."JIM akan mendakwa majikan yang melanggar peraturan dan kami tegas serta komited dalam menangani isu melibatkan PATI," ujarnya.