'Live location' tidak bergerak, rupanya anak maut nahas

JOHOR BAHRU – Perasaan tidak sedap hati menyelubungi ibu kepada Ammar Azwar Asri, 21, apabila lokasi masa sebenar (live location) yang dikongsikan anaknya melalui aplikasi GPS didapati tidak bergerak walaupun diperiksa beberapa kali sekitar jam 5 pagi.Ammar Azwar yang memandu sebuah Proton Saga merupakan salah seorang mangsa nahas yang maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai–Desaru awal pagi Sabtu.Bapa saudara mangsa, Suhaimi Abu Naim, 58, berkata, detik cemas itu dikongsikan sendiri oleh ibu arwah sebelum mendapat berita Ammar Azwar terlibat dalam kemalangan jalan raya."Sebelum kejadian, ibu arwah ada beritahu Ammar berat hati hendak pulang ke kampung dan mahu berehat dulu."Ibu Ammar beritahu dia perasan GPS anaknya itu tidak bergerak. Bila dihubungi, telefon tidak dijawab."Pada mulanya kami sangka bateri telefon habis, tetapi perasaan tidak sedap hati mula timbul dan akhirnya terjawab apabila mendapat berita Ammar terlibat nahas," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI).Bekas anggota tentera darat itu memaklumkan Ammar baharu bekerja selama dua bulan sebagai juruteknik di Rapid Pengerang, Kota Tinggi selepas tamat belajar di sebuah kolej di Kedah."Allahyarham mahu menghadiri beberapa majlis keluarga di Batu Pahat, termasuk pertunangan sepupu serta doa selamat."Ammar anak sulung daripada dua beradik merupakan seorang yang sentiasa ceria, suka bergurau dan menghidupkan suasana," katanya.Jenazah dituntut ahli keluarga kira-kira jam 4.40 petang selepas bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) selesai dan dijangka dikebumikan malam Sabtu di Kampung Parit Siba, Batu Pahat.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi memberitahu identiti dua mangsa maut dikenali sebagai Yen Jian Yao, 19, merupakan pemandu Proton Wira manakala pemandu Proton Saga dikenali sebagai Ammar Azwar Asri, 21.Jelas beliau, setakat ini, siasatan awal mendapati pemandu Proton Wira tiada lesen kenderaan."Tiga lagi pemumpang Proton Wira alami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke HSI untuk rawatan lanjut."Manakala pemandu Perodua Myvi dikenali sebagai Nur Nalea Nazlin Mahmud, 23, juga bekerja sebagai Rapid Pengerang alami kecederaan parah di bahagian kaki kanan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI)."Penumpangnya, Mohamad Adam Satiman, 25 juga bekerja di tempat yang sama turut alami cedera dalam kemalangan itu," katanya.