Pas diingatkan 'jangan curah minyak ke dalam api' - Shahidan

KANGAR - Ahli Pas diingatkan agar tidak 'mencurah minyak ke dalam api' yang boleh mengeruhkan situasi politik di Perlis.Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Pesuruhjaya Pas Perlis III, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, setiap anggota parti itu diingatkan tidak melakukan perbuatan terbabit sehingga mengundang ketidakstabilan kerajaan negeri.Menurutnya, saranan itu dibuat berikutan pelbagai kenyataan dikeluarkan di media sosial sama ada melibatkan akaun sebenar atau palsu, perkara itu tidak sepatutnya dilakukan lebih-lebih lagi jika dari seorang Ahli Pas."Jangan mencurah minyak ke dalam api yang menyala... Mana-mana orang Pas tidak boleh keluarkan kenyataan pelaga (mengapikan-apikan) orang. Parti ni bukan hak kita (individu), parti ni hak bersama."Elakkan prasangka dan kalau ada dalam kalangan orang Pas 'menyalakan api' kita sedang memerhati... Kita akan ambil tindakan," katanya kepada media pada Sabtu.Pergolakan politik di Perlis tercetus apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN Pas dikatakan mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan pendirian hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri.Susulan itu, Pas membuat ketetapan bahawa tiga orang Ahli Badan Perundangan Pas itu terhenti serta-merta keahlian mereka.Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang kemudiannya mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, pada Khamis.