KUALA KRAI - Seorang warga emas melecur 80 peratus di bahagian badan manakala anak perempuannya cedera di bahagian kaki apabila rumahnya terbakar dipercayai berpunca daripada tong minyak petrol tumpah dalam kejadian di Kampung Chuchuh Puteri B di sini pada Sabtu.Mangsa, Rusiah Deraman, 72, yang parah dikatakan telah ditidurkan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.Jirannya, Shazwaniey Zahari, 34, berkata, kejadian tersebut disedari dia dan suami, Muhamad Sulaiman Hashim, 36, kira-kira jam 1 tengah hari semasa hendak keluar membeli makanan tengah hari.Menurutnya, semasa hendak mengundurkan kereta kelihatan asap tebal dari rumah Rusiah yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka."Kami kemudian mendengar suara meminta pertolongan dari arah rumah tersebut. Kami ke sana dan mendapati badan nenek Rusiah telah terbakar dan hanya bahagian dada yang tidak terkena api."Suami telah menarik dan mendukung nenek Rusiah untuk menyelamatkan dia. Ini kerana keadaan kawasan rumah yang berbukit menyebabkan nenek Rusiah sukar untuk berjalan laju serta kesihatannya uzur," katanya ketika dihubungi.Shazwaniey memberitahu, suaminya kemudian telah membawa Rusiah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Ujarnya, dia pula telah membawa cucu lelaki kepada Rusiah ke rumah untuk dimandikan kerana badannya terkena minyak petrol yang tumpah.Tambah dia, mengikut dakwaan Rusiah kejadian itu berlaku ketika cucunya sedang bermain di hadapan rumah dan telah terlanggar tong mengandungi minyak petrol sehingga terjatuh dan pecah serta tertumpah."Kebetulan Rusiah baharu lepas membakar sampah di hadapan rumahnya dan dari situ berpunca kebakaran sehingga merebak ke kawasan rumah."Dua anak perempuan Rusiah serta menantu lelaki dan tiga cucunya dikatakan terpaksa keluar dari tingkap dapur untuk menyelamatkan diri kerana bahagian hadapan rumah telah hangus. Manakala suami Rusiah tidak berada di rumah kerana solat Zohor berjemaah di masjid," katanya.Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Kanan, Nik Ahmad Asham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 tengah hari."Seramai 11 anggota dan pegawai lain-lain pangkat termasuk bomba bantuan telah ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran serta menyelamat."Setiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan dua mangsa iaitu seorang wanita warga emas dan perempuan berusia 20-an telah melecur," katanya.Menurut beliau, warga emas berkenaan cedera di bahagian badan makala anak perempuannya melecur di kaki.Katanya, kedua-dua individu itu telah dibawa ke hospital oleh jiran untuk rawatan lanjut.