SEREMBAN - Polis menemukan beberapa objek disyaki bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) bersama lelaki yang ditahan di jalan sekitar Batang Benar, Nilai petang Sabtu susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, di sini 22 Disember lepas.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam tangkapan jam 4.15 petang Sabtu, polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek berusia 62 tahun itu."Pemeriksaan yang dijalankan ke atas tubuh badannya mendapati terdapat kesan kecederaan melecur di bahagian muka, badan, tangan dan kaki."Ketika ditahan, dia berada dalam lemah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk diberikan rawatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menyalurkan maklumat kepada polis selain menzahirkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dalam usaha mengesan suspek.Alzafny petang Sabtu mengesahkan penahanan individu berkenaan di jalan sekitar kawasan Batang Benar, Nilai hasil maklumat orang awam.Pada Jumaat, Alzafny berkata, suspek dikenali sebagai ‘Ayang’ yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumahnya dan telah memusnahkan semua bahan letupan berkenaan.Pada Isnin lepas, beliau dilaporkan berkata, pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada jam 7.08 pagi. - Bernama