KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas ke atas kesalahan penggunaan nombor pendaftaran 'fancy' dan mengelirukan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan berkenaan kes ini selain mendapatkan pandangan Timbalan Pendakwa Raya (TPR)."Pemilik kenderaan yang menggunakan nombor 'fancy' ekstrem akan disaman di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mempamerkan nombor pendaftaran yang mengelirukan."Kami telah membawa kes itu ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman minimum RM5,000 dan boleh mencecah RM10,000. Kita dapati sejak akhir-akhir ini banyak motosikal dan kereta menggunakan nombor ekstrem hingga mengelirukan agensi penguat kuasa lain," katanya kepada pemberita selepas Op Pelbagai JPJ di Jalan Ampang di sini pada Ahad.Turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.Dalam kes berlainan, sebanyak 4,762,238 notis saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM1.42 juta masih belum dilunaskan ketika tempoh diskaun 50 peratus saman bakal berakhir pada 30 Disember ini.Kata Muhammad Kifli, statistik setakat 27 Disember merekodkan 702,606 saman bernilai RM93.5 juta yang telah dibayar.Menurutnya, JPJ mengalu-alukan dan menggalakkan pengguna jalan raya yang masih memiliki saman tertunggak untuk mengambil peluang membayar saman dengan diskaun sehingga 50 peratus."Seperti yang disarankan Menteri Pengangkutan, mulai 1 Januari tahun depan, semua saman yang tidak dijelaskan akan disenarai hitam," ujarnya.Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diselaraskan bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi tempoh 31 hingga 60 hari, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.