JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing mengalami cedera di muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam satu kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham ketika memandu di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran simpang keluar sebuah stesen minyak, di sini.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, laporan insiden yang turut tular itu diterima daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun."Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek tidak berpuas hati terhadap tindakan mangsa yang memandu keluar dari stesen minyak secara melulu sehingga menyebabkan suspek terpaksa membrek secara mengejut."Suspek kemudiannya keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng," katanya dalam satu kenyataan.Raub berkata, akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri."Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan."Polis turut merampas sebuah alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan semasa kejadian," ujarnya.Tambahnya lagi, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati keputusan negatif dadah, manakala semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah."Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata."Permohonan reman ke atas suspek dijangka dilakukan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Ahad," katanya.Sebelum itu, tular video berdurasi tujuh saat memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta dari bonet dan memukul kereta dipercayai milik mangsa.