PASIR MAS — Taktik licik sindiket menjadikan sebuah rumah kampung sebagai ‘gudang’ transit dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan melalui rampasan lebih 1.14 juta batang rokok seludup bernilai hampir RM1 juta di Kampung Pasir Panji, Tanah Merah, pada 7 Disember lalu.Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 2 petang hasil risikan dan intipan selama hampir dua minggu oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang."Sindiket menggunakan sebuah rumah kampung yang kelihatan seperti kediaman biasa sebagai tempat penyimpanan sementara 5,710 karton rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran."Taktik ini digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelak dikesan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang, di sini, pada Ahad.Menurut beliau, pemeriksaan ke atas premis tidak bernombor itu membawa kepada penemuan rokok putih, dengan nilai rampasan berjumlah RM178,500, manakala duti dan cukai terlibat mencecah RM771,570, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM950,070.Wan Jamal Abdul Salam berkata rokok berkenaan termasuk yang dipercayai satu jenama baharu dalam pasaran gelap selain didapati menggunakan setem cukai palsu serta maklumat syarikat tidak sah pada kotak pembungkusan."Rokok ini dipercayai dibawa masuk melalui Sungai Golok untuk diedarkan ke pasaran tempatan Kelantan dan juga Lembah Klang," katanya.Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.Sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau dipenjarakan antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.Wan Jamal Abdul Salam menegaskan aktiviti penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat."Saya mengingatkan orang awam agar tidak terbabit dengan aktiviti penyeludupan."Bantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan serta barangan seludup lain," katanya.