Lelaki melecur dalam kebakaran rumah

GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang tinggal bersendirian melecur tahap dua dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Baba Ahmad, Tanjung Tokong di sini, pagi Ahad.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa berusia 50 tahun ditemui terperangkap di dalam bilik air ketika kejadian berlaku.Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.37 pagi itu, mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota bomba sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut."Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kelas A dengan anggaran keluasan 20 x 60 kaki persegi dan kemusnahan dianggarkan sebanyak 60 peratus."Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bersama bantuan BBP Jalan Perak tiba di lokasi pada jam 9.48 pagi selepas menerima panggilan kecemasan."Seorang mangsa didapati terperangkap di dalam bilik air dan berjaya dikeluarkan pada jam 10.12 pagi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.John Sagun berkata,, mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya diserahkan kepada ambulans Pusat Bantuan Sementara (PBS) Bukit Bendera untuk dibawa ke hospital."Operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan defensif dengan kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.54 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.21 pagi."Kerja-kerja ‘overhaul’ dilaksanakan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.33 tengah hari," katanya.Beliau berkata, seramai 21 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan empat jentera iaitu LFRT BBP Bagan Jermal, FRT BBP Jalan Perak, EMRS dan Water Tanker."Operasi turut mendapat kerjasama agensi luar termasuk polis, Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Berhad."Sementara itu, lokasi kejadian telah diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran," ujarnya.