SHAH ALAM - Kementerian Kewangan memberi amaran keras terhadap perbuatan menebus subsidi Budi Madani Ron95 (BUDI95) menggunakan MyKad milik individu lain.Menurut kenyataan itu, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan."Awas! orang ramai diingatkan bahawa menebus penggunaan BUDI95 menggunakan MyKad milik orang lain adalah satu kesalahan."Sekiranya anda menghadapi masalah MyKad atau kehilangan MyKad, sila laporkan segera kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Terdahulu, media melaporkan tindakan seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan selepas menggunakan MyKad milik individu lain bagi menebus subsidi bahan api itu di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.Perbuatan itu terbongkar apabila pemilik MyKad menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian, sebelum tampil membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya bagi tujuan tidak sah.