PASIR MAS - Seorang penternak ikan keli meninggal dunia selepas lebih sejam bertarung nyawa akibat serangan jantung sebelum terjatuh ke dalam sangkar ikan di tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kampung Padang Lati, di sini, pada Sabtu.Mohd Suffian Mohamed, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lati pada jam 7.15 malam.Isteri mangsa, Ruzaini Muhammad, 57, berkata, dia mengetahui kejadian itu pada jam 6.20 petang selepas dimaklumkan oleh rakan suaminya yang turut berada di lokasi untuk memberi makan ikan."Masa kawannya nampak, suami saya sudah terjatuh ke dalam air dan mereka membantu mengangkatnya ke atas sangkar sebelum menghubungi ambulans."Dalam ambulans, suami masih bernyawa. Ketika dia di wad kecemasan, saya pergi menunaikan solat Maghrib dan tidak lama selepas itu dimaklumkan bahawa dia telah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kepas Apam, Lati, di sini, pada Ahad.Menurutnya, Mohd Suffian keluar dari rumah selepas waktu Asar dengan menaiki motosikal ke sangkar ikan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kediaman mereka, seperti rutin hariannya untuk memberi makan ikan.Katanya, mangsa dipercayai rebah akibat serangan jantung sebelum terjatuh ke dalam sangkar ikan berkenaan."Suami saya pertama kali mengalami serangan jantung ketika mengharungi banjir pada 2014."Dia juga menghidap sakit batu karang dan kebelakangan ini tidak cukup tidur," katanya.Menurut wanita itu, suaminya mengusahakan penternakan ikan keli secara kecil-kecilan sejak tiga tahun lalu selain bekerja dengan penternak lain.Lebih menyentuh perasaan, katanya, arwah sepatutnya berangkat ke Kuantan, Pahang bersamanya dan anak lelaki bongsu mereka yang berusia 21 tahun bagi menziarahi cucu sulung berusia tiga bulan, namun hasrat itu tidak kesampaian."Kereta sewa sudah ditempah sejak bulan lalu. Sepatutnya hari ini kami pergi menziarahi cucu pertama di Kuantan."Sebelum ini hanya melihat gambar. Sejak dua minggu lalu, dia kerap mengusap gambar cucu di telefon bimbit dan hari ini cucu pula pulang menziarahi arwah," katanya.Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lebai Akil, Chicha Tinggi, di sini, pada jam 11 pagi, Ahad.Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penguasa Bomba Kanan II Azrul Yusri Che Yaacob, berkata, jentera bomba digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 6.27 petang."Setibanya pasukan bomba di lokasi, lelaki tersebut telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.