Hentikan segala spekulasi, tohmahan demi kebaikan negeri - Raja Perlis

ARAU - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar segala spekulasi mahupun tohmahan dan perkara tidak diingini dihentikan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu pada Ahad.Baginda bertitah, pada kebiasaannya Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar diadakan setiap lima tahun namun kali ini ia sedikit berbeza kerana menteri besar sedia ada meletakkan jawatan atas faktor kesihatan sekali gus memerlukan pelantikan baharu."Bermacam-macam spekulasi serta tohmahan, tuduhan dan perkara tidak diingini telah berlaku serta disebut… Beta harap selepas ini semua perkara itu dihentikan demi kebaikan negeri," titah Tuanku Syed Sirajuddin pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu di Bilik Hijau, Istana Arau di sini.Tuanku Syed Sirajuddin bertitah bahawa keputusan melantik Abu Bakar diambil selepas baginda memikirkannya secara mendalam selain mengambil kira pandangan wakil-wakil rakyat di Perlis.Sehubungan itu, baginda bertitah agar semua wakil rakyat menerima keputusan tersebut demi kebaikan rakyat dan pembangunan Perlis pada masa akan datang."Kebanyakan wakil rakyat telah beritahu (mereka) berserah kepada beta untuk membuat pilihan, dan mereka sanggup menerima siapa sahaja."Beta tanya juga wakil-wakil rakyat sebentar tadi, ada tak renggang antara dua parti ini (Pas dan Bersatu) dan macam mana nak perbetul dan perapat balik supaya boleh bekerja sebagai satu… jadi, semua dah terima hakikat bahawa (mereka) kenalah bekerjasama untuk kepentingan negeri dan rakyat," titah baginda.Tuanku Syed Sirajuddin juga menitahkan agar semua ADUN Perikatan Nasional (PN) di Perlis kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demi kepentingan negeri itu serta rakyatnya.Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Shukri Ramli yang telah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Perlis selama tiga tahun.Pada majlis itu, Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar Perlis Kesembilan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin pada jam 4.04 petang.Ia susulan peletakan jawatan Mohd Shukri, yang juga ADUN Sanglang, sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela kerana faktor kesihatan seperti diumumkan pada 25 Disember lepas.Sebelum itu, Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan turut mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.Kekosongan itu berlaku selepas Pas pada 24 Disember lepas mengumumkan bahawa keahlian tiga ADUN parti tersebut iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti susulan tindakan mereka menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.Pada PRU15, PN menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis dengan sembilan dimenangi oleh Pas dan lima oleh Bersatu manakala Pakatan Harapan menerusi PKR memenangi satu kerusi. - Bernama