SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi bayangan parti itu bersedia untuk kembali bekerjasama dengan Pas dipercayai susulan krisis politik Perlis yang menyaksikan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar negeri berkenaan.Dr Muhamad Akmal berkata, kedua-dua parti boleh berusaha untuk menukar status mereka daripada lawan kepada kawan."Kawan makan kawan, kawan jadi lawan. Tetapi Insya-ALLAH kita boleh usahakan lawan jadi kawan," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari di Facebook sebelum itu yang menyentuh mengenai kawan makan kawan tetapi tidak mengaitkannya secara terus dengan perkembangan di Perlis serta hubungan parti tersebut dengan Bersatu."Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan," katanya ringkas.Hantaran Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengundang tanda tanya dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengikutnya.Segelintir pengikutnya turut mengaitkan hantaran terbabit berkait situasi politik Perlis dan ada yang mencadangkan supaya Pas menilai semula gabungan rakan politik di negeri itu.Terdahulu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-12, menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli daripada Pas yang meletak jawatan atas faktor kesihatan pada Khamis lalu.Sebelum ini, lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu lima daripada Bersatu dan tiga daripada Pas mengemukakan akuan berkanun (SD) yang memberitahu menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.Ekoran krisis politik Perlis itu, Dr Muhamad Akmal pada Khamis lalu mencadangkan supaya PN dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula.Malah, katanya, usaha supaya memperkasakan MN dan bukannya PN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.MN yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 antara UMNO dan Pas dianggap terkubur apabila Pas memuktamadkan untuk bekerjasama dengan Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU15.Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO iaitu parti tersebut perlu meninggalkan Bersatu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.