Susulan hantaran 'kawan makan kawan', Pengerusi PN Perlis syor 'Solusi Muafakat Nasional'

SHAH ALAM – Selepas Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memuat naik hantaran di Facebook pada Ahad dengan status ‘kawan makan kawan’, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim pula mencadangkan solusi melalui Muafakat Nasional.Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis III dipercayai merujuk kepada pergolakan politik di negeri itu."Cari helah nak berkawan, elak punca gaduh. Solusi Muafakat Nasional," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebooknya.Hantaran Ahmad Fadhli sebelum ini tidak disertai sebarang penjelasan lanjut atau memetik mana-mana laporan terkini sehingga ia mengundang tanda tanya dan pelbagai reaksi daripada pengikutnya.Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberi bayangan parti itu bersedia untuk kembali bekerjasama dengan Pas menerusi hantaran terbaru di media sosialnya susulan krisis politik Perlis yang menyaksikan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah sebagai menteri besar negeri berkenaan.Katanya, kedua-dua parti boleh berusaha untuk menukar status mereka daripada lawan kepada kawan.Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan pada Khamis akibat faktor kesihatan.Abu Bakar merupakan Pengerusi Bersatu Negeri Perlis dan Timbalan Pengerusi I PN Negeri.