SHAH ALAM – Beberapa pemimpin Pas memuat naik hantaran sindiran di Facebook masing-masing, menimbulkan persoalan dipercayai berkaitan krisis politik Perlis walaupun dilihat selesai dengan pelantikan Menteri Besar baharu pada Ahad.Antaranya, Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad memuat naik status ringkas mengenai pengkhianatan yang disifatkan beliau tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum."Saya tak sedih tetapi gembira kerana sekarang kita tahu warna sebenar mereka. Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa dihukum," katanya.Hantaran itu bagaimanapun tidak merujuk mana-mana laporan terkini, namun dipercayai berkaitan dengan pelantikan Menteri Besar baharu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberi gambaran seolah parti itu mengakui berlaku perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN)."Apakah retak menanti belah," katanya pada Ahad.Terdahulu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-12.Pelantikan itu menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli daripada Pas yang meletak jawatan atas faktor kesihatan pada Khamis lalu.Sebelum ini, lapan ADUN PN, lima daripada Bersatu dan tiga daripada Pas mengemukakan akuan berkanun (SD) yang menyatakan menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.