GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun terlibat kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta di Persiaran Lengkuas, Tanjung Tokong di sini, malam Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 9.21 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dilaporkan tersangkut pada tayar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV sebelum dikeluarkan oleh orang awam.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.21 malam dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi lapan minit kemudian."Mangsa telah tersangkut pada tayar kereta sebelum ketibaan pasukan bomba dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam."Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya menjalankan kerja-kerja menyelamat dan memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian leher, lengan dan kaki."Mangsa menerima rawatan awal daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut."Operasi melibatkan enam anggota termasuk seorang penyelia dengan sebuah jentera FRT," ujarnya.Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.51 malam selepas keadaan disahkan selamat.