BINTANG Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo, bertekad untuk membuka tirai tahun 2026 dengan langkah kanan apabila dijadualkan kembali beraksi di Stadium Lumpinee, Bangkok pada 23 Januari depan.Misi beliau itu bakal bermula di pentas ONE Fight Night 39 apabila membuat perhitungan menentang jaguh Filipina-Amerika, Sean 'The One' Climaco.Pertembungan dalam kategori flyweight Muay Thai ini dilihat mempunyai signifikannya yang tersendiri buatnya.Ini kerana Climaco memegang rekod kemenangan ke atas Diego Paez, lawan sama yang pernah menghadiahkan kekalahan kedua berturut-turut buat pada tahun ini.Enggan lagi menoleh ke belakang mengenang detik sukar sepanjang 2025 yang menyaksikan momentumnya sedikit terganggu, Johan mahu melancarkan kempen 2026 dengan kemenangan mutlak bagi membina momentum untuk tempoh 12 bulan akan datang."Dia (Climaco) tewaskan Diego Paez, manakala saya tewas kepada Diego Paez, jadi saya rasa ia akan menjadi satu aksi yang menarik."Saya ibarat ‘bunuh dua ekor burung dengan satu batu’ jika berjaya meraih kemenangan di sini. Insya-ALLAH, jika semuanya berjalan lancar, ia sepatutnya menjadi mudah," katanya seperti dipetik daripada laman sesawang One Championship.Terdahulu, Johan Ghazali berdepan permulaan tahun yang agak perlahan apabila tewas menerusi keputusan sebulat suara kepada Johan Estupinan pada Januari.Lima bulan kemudian, Diego Paez menambah duka buat Jojo apabila beliau tewas menerusi keputusan juri pada aksi ONE Fight Night 32, Jun lalu.Bagaimanapun, hasil kerja keras tanpa jemu membolehkan beliau kembali ke landasan kemenangan apabila menumbangkan Zakaria El Jamari pada ONE Fight Night 35, September lalu.Bagi Johan Ghazali, senarai impiannya menjelang tahun baharu bukan untuk membalas dendam atau mengumpul rekod kemenangan semata-mata, sebaliknya mahu meneruskan evolusi diri yang tercetus daripada kebangkitan tersebut."Saya hanya mahu terus meraih lebih banyak kemenangan, terus menaikkan nama, dan mengekalkan evolusi saya sebagai seorang petarung. Ini adalah tiga matlamat utama saya."Divisyen flyweight memang sengit. Ada jalan sukar di hadapan, tetapi tahun 2025 telah mengajar saya bahawa saya mampu bangkit daripada segala cabaran," ujarnya.