Yayasan Tenaga Nasional beri sinar masa depan pelajar cemerlang

Kekangan kewangan sering menjadi penghalang utama kepada pelajar cemerlang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya melibatkan kos yuran, sewaan rumah dan sara hidup yang semakin meningkat.Namun bagi beberapa pelajar terpilih, tajaan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah menjadi pemangkin untuk mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik serta merancang masa depan dengan lebih yakin.Salah seorang penerima tajaan, Muhammad Aiman Abdul Mukmin, 19, berkata, dia memang berhasrat menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) namun kos pengajian dan sara hidup di luar kampus menjadi kebimbangan utama."Selepas matrikulasi, saya bekerja selama tiga bulan kerana risau dengan kewangan keluarga. Ibu bekerja sebagai penjahit sambilan, manakala ayah saya pula penghantar bungkusan dengan pendapatan keluarga sekitar RM3,000 sebulan."Sebelum menerima tajaan, saya bercadang untuk bekerja ketika cuti kerana memikir kos sewa rumah dan perbelanjaan bagi mengurangkan beban ibu bapa.Kini boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran apabila menerima tawaran tajaan YTN, ibu saya menangis kegembiraan," ujarnya ketika menghadiri Majlis Penganugerahan Tajaan YTN 2025 yang diadakan di Bangi.Turut hadir, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.Menerusi YTN, kira-kira 20,900 pelajar dengan lebih RM2 bilion diperuntukkan bagi pendidikan dan kebajikan pelajar. Antara bantuan pendidikan yang ditawarkan YTN termasuk Biasiswa PRIME Scholarship, Pinjaman Boleh Ubah Shine Sponsorship, Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dan MyBF Junior (mulai 2025).Selain itu, YTN turut menyediakan program pembangunan sahsiah, kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran kerjaya.Tambah Muhammad Aiman, menerusi tajaan ini, kewangan bukan lagi masalah utama dan boleh fokus sepenuhnya kepada pelajaran.Meringankan beban kewangan keluargaBagi seorang lagi penerima yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Stefhanie Daphne Anak Bakar, 19, tajaan YTN dilihat sangat membantu pelajar untuk meneruskan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan."Sekarang saya berada tahun pertama jadi masih tinggal di asrama. Cuma risau nanti tahun kedua pengajian, saya perlu menyewa rumah dan kos bulanan semakin meningkat."Selepas ayah meninggal dunia, kebimbangan bertambah, saya tidak mahu ibu terbeban memandangkan ibu hanya menjual kuih-muih secara kecil-kecilan."Oleh itu, apabila terpilih menerima tajaan YTN, saya sangat bersyukur. Ia memberi kelegaan dan amanah serta kepercayaan besar yang perlu dibalas dengan prestasi cemerlang," ulasnya.Sementara itu, Nursabrina Nabila Shamsul Kamar, 19 memberitahu, kos sara hidup pelajar universiti bukan sahaja melibatkan yuran pengajian, malah merangkumi perbelanjaan sewaan rumah, pengangkutan dan pembelian buku yang kebanyakannya tidak dinyatakan secara terperinci."Apabila menerima tajaan YTN, saya sangat lega kerana tidak lagi perlu memikirkan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian," ujarnya.Menurutnya, walaupun bantuan diterima mencukupi, beliau tetap mengamalkan penjimatan dengan menetapkan perbelanjaan harian bagi memastikan kewangan diurus dengan berhemah."Saya terkejut apabila disenarai pendek dan terpilih sebagai antara penerima. Tajaan ini turut menyediakan elaun bulanan, komputer serta peralatan pembelajaran, sangat membantu terutama bagi bidang kejuruteraan yang memerlukan kos tinggi," katanya.Dia turut menyifatkan peluang kerjaya di TNB selepas tamat pengajian sebagai jaminan masa depan yang memberi keyakinan kepada penerima tajaan.Bagi M Vinitha, 20 berpendapat, penerimaan tajaan YTN membawa makna tersendiri apabila beliau menjadi antara ahli keluarga yang berjaya menerima biasiswa tersebut."Ayah saya bekerja di TNB dan dua abang saya sebelum ini tidak menerima sebarang biasiswa. Apabila saya terpilih, ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga."Ibu merupakan seorang suri rumah dan dengan adanya tajaan tersebut, saya tidak lagi perlu meminta wang daripada ibu bapa."Tajaan ini memberi motivasi dan semangat untuk belajar bersungguh sungguh serta membalas kepercayaan yang diberikan," ulasnya.REAKSI"Saya akan melakukan yang terbaik dan menerima peluang ini dengan berbesar hati, YTN bukan sahaja memberikan bantuan dalam pembelajaran, malah turut melaksanakan pelbagai program yang membentuk pelajar bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga menjadi pemimpin pada masa hadapan." - Pelajar, Muhammad Luqman Hakim Muhammad Sufyan, 18."Alhamdulillah, bukan mudah untuk mendapat tajaan daripada YTN dan saya sangat bersyukur dengan rezeki ini. Aiman adalah anak tunggal dan saya sebelum ini risau memikirkan soal tajaan kerana tiada pengalaman, sejak kecil, impian Aiman ialah menjadi jurutera dan saya berharap selepas tamat ijazah nanti, dia dapat berkhidmat dengan TNB." - Tukang jahit (ibu) Anita Hashim, 58."Saya bersyukur dan terharu apabila anak terpilih menerima penajaan YTN daripada ribuan pemohon kerana ia melegakan kebimbangan kami sekeluarga berkaitan kos pengajian. Saya berharap ia dapat menjadi pendorong untuknya menamatkan pengajian dengan cemerlang."- Operator kilang (ibu), Nurul Nadia Abdullah, 38.