ALOR GAJAH - Tindakan pemilik tiga kereta yang meletakkan kenderaan di bahu jalan mengundang padah apabila kenderaan mereka disagat sebuah treler yang gagal melepasi selekoh dalam kejadian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, pada Ahad.Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 5.30 petang hingga 6.30 petang.Beberapa video berkaitan kejadian tular di media sosial memaparkan dua buah Perodua Alza dan sebuah Proton Iriz mengalami calar serta kerosakan pada bahagian kiri kenderaan.Berdasarkan rakaman video berkenaan, kenderaan terbabit didakwa diletakkan di laluan lori, menyebabkan treler berkenaan tidak dapat melepasi selekoh tersebut.Keadaan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan memaksa treler berkenaan menghimpit kenderaan terbabit bagi membolehkan ia melepasi laluan berkenaan.Difahamkan sebelum kejadian, beberapa orang awam cuba mengalihkan kenderaan tersebut bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes berkenaan di bawah siasatan Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) Bukit Aman."Lokasi kejadian adalah di kawasan R&R Jejantas Ayer Keroh, Daerah Alor Gajah. Kes ini melibatkan sebuah treler dan tiga buah kereta."Kes masih dalam siasatan USLR Bukit Aman," katanya.Difahamkan, pemilik sebuah kenderaan telah membuat laporan polis, manakala dua pemilik kenderaan lain masih belum berbuat demikian.