Pergilah, tak usah kembali lagi - Afnan Hamimi

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden, memberi gambaran seolah-olah hubungan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ibarat ‘retak menanti belah’ apabila menyatakan ‘kawan’ itu sudah pergi meninggalkan Pas.Meskipun tidak menyatakan secara terperinci kawan yang dimaksudkan, coretan beliau di Facebook antara lain berkisar mengenai pengorbanan dan semangat setiakawan Pas, dipercayai merujuk parti itu selaku rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN)."Hari ini, kawan itu sudah pergi berjalan sendiri, merasakan diri sudah gagah, hebat dan kuat. Kawan yang setia ini sudah ditinggalkan begitu sahaja."Tidak mengapa, kawan. Jika mahu pergi, pergilah. Selepas ini, buatlah semuanya seorang diri. Bilik gerakan, kempen rumah ke rumah, pasang poster, gantung bendera, susun tempat ceramah, kawal keselamatan, buat kerja culaan, jadi ejen mengundi, ejen kira undi, jamuan kenduri."Buatlah sendiri. Ikutlah apa yang kami ajari jika masih belum lupa diri," katanya.Kenyataan itu menyusul selepas beberapa pemimpin parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menyindir Bersatu susulan kemelut politik yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, sebagai Menteri Besar Perlis.Dalam pada itu, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut berkongsi pengorbanan Pas terhadap rakan parti komponen apabila menamakan Ketua Pembangkang dalam kalangan parti berkenaan."Walaupun Pas lebih besar dari segi jumlah, namun melihat kepada pengalaman dan kemampuan, Pas sanggup menamakan kawan untuk memikul jawatan itu. Itu setiakawan."Ketika krisis parti kawan, Pas mengelak daripada masuk campur dan mengelak daripada memberi kenyataan walaupun diasak bertubi-tubi oleh wartawan."Pas memilih untuk berdiam diri daripada berkata-kata, bimbang melukakan hati kawan. Jika memberi respons sekalipun, Pas cermat memilih perkataan dan menyusun ayat bagi menjaga hubungan kawan," ujarnya.Afnan Hamimi turut mengakui Pas tidak rugi, sebaliknya akan terus berjalan menuju destinasi untuk menggapai reda Ilahi."Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup kami. Terima kasih kerana membuat dunia ini mengenali siapa kawan sejati."Pergilah. Tidak usah kembali lagi," katanya.