Penunggang motosikal maut langgar lembu

JASIN - Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal masing-masing melanggar seekor lembu liar yang melintas jalan di Lebuh AMJ Serkam di sini lewat malam Ahad.Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu sekitar jam 11 malam.Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua motosikal dan seekor lembu."Kejadian berlaku ketika kedua-dua penunggang motosikal masing-masing berusia 25 tahun itu dari arah Merlimau menghala ke Jasin."Apabila tiba di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai tiba-tiba melintas dari kanan ke kiri jalan menyebabkan kedua-dua mereka tidak sempat mengelak sebelum melanggar haiwan berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua motosikal terbabas ke lorong kiri jalan."Seorang mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya.Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Nuralia Asyikin Wan Ibrahim ditalian 011-6464 8182 atau Kaunter Aduan Trafik IPD Jasin di 06-529 2222 sambungan 260.