SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki, mempersoalkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ dalam mengurus isu membabitkan ahli parti.Ahli Parlimen Parit Buntar itu, menerusi hantaran ringkas di Facebook, mempertikaikan tindakan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak memecat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.Beliau turut membandingkan ‘hukuman’ yang dikenakan terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kerana didakwa sebagai pengkhianat selepas menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim."Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong PMX (Anwar) dikatakan pengkhianat dan dipecat."Lima ADUN Bersatu menarik sokongan terhadap Menteri Besar PN (Perikatan Nasional), bukankah itu juga satu pengkhianatan? Mengapa tidak pula dipecat?" soalnya.Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).Keenam-enam Ahli Parlimen itu diberikan notis gugur keahlian pada 12 Jun 2024 selepas mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.Terdahulu, krisis politik Perlis bermula selepas lima ADUN Bersatu bersama tiga ADUN Pas dilaporkan menghantar akuan bersumpah (SD) ke Istana Arau bagi menggantikan Mohd Shukri.Kemelut itu terjawab apabila ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kesembilan.