Belajar sambil bermain di 'Future Genius Fun Day!' Karangkraf Mall

SHAH ALAM - Manfaatkan cuti sekolah dengan membawa anak-anak menyertai 'Future Genius Fun Day!', acara yang berlangsung selama tiga hari di Karangkraf khusus buat golongan berusia tujuh hingga 12 tahun.Eksekutif Jualan dan Pemasaran Karangkraf Mall, Nurul Elyana Abdul Raman berkata, pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat disediakan untuk anak-anak mengisi masa lapang sekali gus berpotensi membina keyakinan serta jati diri mereka.Jelas Nurul Elyana, program memfokuskan empat teras utama iaitu matematik, sains, tahap kecerdasan (IQ) dan kerjaya masa depan.Menurutnya, sambutan diterima pada hari pertama amat menggalakkan dengan kehadiran murid dari pelbagai sekolah di sekitar Selangor termasuk orang awam, malah kesemuanya tidak balik tangan kosong kerana penganjur turut menyediakan 'goodies', buku dan hadiah daripada penaja."Karangkraf Mall sering mengadakan aktiviti meraikan kanak-kanak, cuma umurnya berbeza yang mana sebelum ini daripada empat hingga enam tahun. Kali ini kita buka kepada peserta berumur tujuh hingga 12 tahun."Acara ini terbuka kepada semua tidak kira dari dalam mahupun luar Selangor, kalau ada yang berminat untuk mendaftar secara 'walk-in' atau dalam talian pun kami alu-alukan."Kami juga menyediakan pakej yuran penyertaan iaitu RM50 untuk seorang peserta, RM90 bagi dua orang manakala RM120 (tiga orang)," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Auditorium Karangkraf di sini pada Isnin.Aktiviti yang menjadi pilihan ramai seperti permainan 'blind robot adventure', 'jenga blocks' serta 'mini volcanic eruption', di samping berpeluang merasai sendiri pengalaman menjadi jurujual, hos jualan, kru penerbitan dan lain-lain.Program bermula 29 hingga 31 Disember ini dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, bertempat di Auditorium Karangkraf.Nurul Elyana menambah, ibu bapa yang masih buntu mencari idea untuk mengisi masa lapang anak-anak, dalam masa sama tidak mahu si cilik hanya terperap di rumah bermain gajet, 'Future Genius Fun Day!' solusi tepat."Justeru, kami mengajak orang awam di sekitar mahupun luar Selangor untuk sertai program ini yang mana saya jamin anak-anak bakal seronok dan berpuas hati."Berbaki dua hari lagi, inilah masanya untuk anak-anak isi masa terluang di 'Future Genius Fun Day!', sekali gus mencungkil bakat terpendam dalam diri masing-masing," ujarnya.