KANGAR - Barisan exco baharu Kerajaan Negeri Perlis yang dianggotai wakil Bersatu dan Pas akan dilantik selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, barisan exco akan dilantik setelah perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail dibuat, seterusnya menghantar cadangan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk diperkenankan."Proses untuk pelantikan baru ni ambil masa sedikit, cuma buat masa sekarang ni, exco sedia ada jadi 'caretaker' lah untuk apa juga majlis-majlis yang boleh dihadiri. InsyaALLAH saya rasa dalam dua minggu kita akan selesaikan, (ada pertambahan atau kurang) kita juga mengambil kira dari segi bajet dan juga beberapa faktor."Supaya pentadbiran ataupun pelantikan exco ni... sekurang-kurangnya dapat imbangkan antara kepimpinan dua parti (Bersatu dan Pas) dan pentadbiran kerajaan pun dapat diselesaikan dengan dengan selaras dan baik," katanya.Beliau berkata demikian selepas sesi 'clock-in' pada hari pertama bertugas di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra di sini pada Isnin.Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, walaupun Perlis mempunyai sumber pendapatan terhad, namun tetap yakin negeri itu mampu bergerak ke arah pembangunan lebih seimbang dengan beberapa pendekatan diambil."Perlis akan mengubah corak dan cara perkhidmatan dengan 'trademark' 3B, bangkit, bingkas dan buat, maknanya kita bangkit dengan kunci kejayaan kita, bingkas dengan kuasa-kuasa yang ada dan kita buat dengan modal yang seadanya."Kita kena bangkit dari tidur, bangkit dari kelemahan, bangkit daripada sifat malas dan sebagainya, ini kita tekankan kepada diri saya dan juga semua rakyat kakitangan kerajaan," katanya.Pada Ahad media melaporkan, Abu Bakar dilantik menjadi Menteri Besar Perlis baharu menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletak jawatan Khamis lalu.Ia susulan lapan ADUN terdiri daripada tiga ADUN Pas dan lima ADUN Bersatu yang menandatanggani akuan bersumpah (SD) hilang sokongan terhadap Mohd Shukri.Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kemudian berkenan melantik Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di mana Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis disempurnakan di Istana Arau pada Ahad.