Pas pertahan penyatuan ummah di bawah payung lebih besar- Pesuruhjaya Pas Pahang

KUANTAN- Pas konsisten menghulurkan tangan kepada rakan Perikatan Nasional (PN) dan bersedia kembali bermusyawarah dengan UMNO serta parti lain termasuk NGO bagi menghimpunkan seluruh kekuatan umat di bawah satu payung besar.Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, Pas akan terus mempertahankan muafakat Melayu Islam walau apa juga harganya sebagai ruang kerjasama yang matang.Menurutnya, PN bukan destinasi terakhir tetapi salah satu kenderaan menuju penyatuan yang lebih luas malah dalam konteks itu, UMNO bukan pihak luar tetapi sebahagian daripada realiti umat dan sejarah politik negara."Justeru, seruan ke arah kebersamaan tidak boleh terhenti pada sempadan gabungan sedia ada sebaliknya Melayu Islam perlu berada di bawah satu payung yang lebih besar iaitu payung penyatuan ummah melangkaui nama, logo dan kepentingan parti."Payung besar itu bukan dibina atas angka kerusi atau persaingan dominasi tetapi atas amanah menjaga agama, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya melalui kenyataan pada Isnin.Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur berkata,langkah itu bagaimanapun menuntut kematangan untuk merendah diri, keberanian untuk berdialog dan kebijaksanaan untuk membezakan antara strategi dengan perpecahan prinsip.Jelasnya, Pas berpegang bahawa muafakat itu akhlak yang menuntut mencari titik temu bukan memperbesarkan jurang."Apa jua perbezaan yang wujud hari ini seharusnya diurus sebagai perbezaan dalam keluarga besar ummah, bukan alasan untuk saling menafikan."Sejarah telah membuktikan bahawa ketika umat bersatu, negara stabil sebaliknya ketika umat berpecah, ruang terbuka luas kepada pihak yang tidak mempedulikan kepentingan Islam dan Melayu," ujarnya.Justeru katanya, matlamat sebesar itu menuntut semua berfikir melangkaui parti, melangkah melampaui ego dan bersatu demi masa depan negara tercinta," katanya.Beliau berkata, perkembangan politik semasa mengajar kita satu hakikat yang semakin jelas bahawa politik kepartian ada batasnya, tetapi amanah penyatuan ummah melangkaui segala garis parti."Apa jua dinamika yang berlaku di peringkat negeri atau pusat wajar dibaca dalam kerangka yang lebih besar iaitu tanggungjawab sejarah terhadap rakyat dan umat," katanya.