KOTA TINGGI - Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin atas empat pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga kematian, Oktober lalu selain memiliki barang larangan iaitu rokok seludup.Bagaimanapun, tertuduh Loo Chun Hao, 32, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin setelah dibacakan jurubahasa mahkamah.Berdasarkan ketiga-tiga kertas pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal; 21, Fazrizal Izuan Zuhaimi; 20 dan Muhammad Abdul Khalid Ab Rashid, 19.Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer (KM) 56 Lebuhraya E22 Senai-Desaru (SDE22), Kota Tinggi, pada jam 11.45 pagi, 11 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.Atas kesalahan terbabit tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki barang larangan iaitu 24 karton rokok pelbagai jenis atau 4,800 batang rokok yang ditaksirkan bernilai RM3,894 pada tempat, waktu dan hari yang sama.Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama yang membawa hukuman sehingga 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Dilaporkan, kesemua barangan tersebut berduti di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Kastam (Kaedah Penilaian 1999).Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri mencadangkan jumlah jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan.Bagaimanapun, peguam K Saravanan yang mewakili tertuduh memohon jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu kini tidak mampu bekerja akibat kecederaan yang dialami susulan kemalangan yang berlaku.Selain itu katanya, tertuduh mempunyai tanggungan ibu berusia 60 tahun serta abang dan kakak.Tertuduh juga masih menjalani rawatan susulan bagi kecederaan yang dialami dan akan menjalani pembedahan di kakinya.Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.Untuk rekod, tiga individu dilaporkan terkorban dalam nahas melibatkan tiga kenderaan dan menyaksikan dua daripada kenderaan terbabit terbakar di KM56, SDE22, Kota Tinggi, pada 11 Oktober lalu.Dalam nahas terbabit sebuah Toyota Fortuner membawa muatan rokok seludup yang dipandu tertuduh turut terbakar menyebabkannya cedera parah.Nahas berkenaan turut meragut nyawa pemandu dan dua penumpang kenderaan ulitilti sukan (SUV) jenis Volkswagen Golf.Dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.Seorang lagi mangsa, iaitu pemandu sebuah lagi kenderaan SUV jenis Honda CRV dilaporkan tidak cedera.