KEPALA BATAS - Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor menggesa Pas Pusat untuk membuat keputusan bagi memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di semua peringkat.Ketuanya, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar turut menggesa parti itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua lantikan melibatkan ahli Bersatu di semua negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).Beliau turut menggesa untuk Pas bertanding dan merampas semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh Bersatu di bawah logo PN-Pas pada pilihan raya umum selain pilihan raya negeri yang lepas."Tindakan ini adalah wajar dan adil untuk dipertimbangkan susulan daripada tindakan khianat serta tikam belakang oleh Bersatu di peringkat pusat selain Perlis yang telah berkomplot untuk menumbangkan Menteri Besar Perlis iaitu Mohd Shukri Ramli."Bersatu ternyata sebuah parti yang hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kekuatan dan keikhlasan Pas. Malah parti itu hanya tahu menumpang dan menunggang slogan penyatuan ummah untuk kepentingan serta keuntungan politik semata-mata," katanya menerusi satu kenyataan media di sini pada Isnin.Mohamad Ikhwan Afiq berkata, sudah tiba masanya Pas tegas dan berani untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu atas sebab pengkhianatan tersebut.Tegasnya, ini bukan kali pertama malah sudah berkali-kali namun Pas tetap berjiwa besar untuk mempertahankan agenda besar penyatuan ummah."Bersatu tidak pernah ikhlas dan menghargai persahabatan ini. Ternyata Pas hanya dilihat sebagai batu loncatan semata-mata untuk memenangi pilihan raya dan meraih laba politik," tambahnya.Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor mewakili suara akar umbi di semua peringkat untuk menggesa Pas Pusat membuat keputusan tegas dan tuntas bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu serta-merta.