SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mengadakan mesyuarat Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan calon Menteri Besar mewakili gabungan selain membincangkan pergolakan dalam kerajaan negeri Perlis.Wan Saiful berkata, akibatnya Bersatu dan Pas mengemukakan nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menerusi surat yang berasingan.Menurut beliau, Muhyiddin selaku Pengerusi PN sepatutnya memanggil mesyuarat dengan kadar segera sebaik sahaja mendapati ada gelora di Perlis.Dakwa Wan Saiful, kegagalan Muhyiddin berbuat demikian memberi impak negatif yang amat besar kepada PN, sehinggakan segelintir pihak mencadangkan Pas meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (PN)."Saya tegaskan bahawa apa yang berlaku adalah lambang kegagalan Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan beliau mesti bertanggungjawab."Sehingga hari ini, Muhyiddin belum panggil mesyuarat seolah-olah tak peduli pun apa yang berlaku. Sedang berseronok di England agaknya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Terdahulu, krisis politik Perlis bermula selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu bersama tiga ADUN Pas dilaporkan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak Istana bagi menggantikan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.Pada 26 Disember, Bersatu telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).Pas kemudiannya mengemukakan dua nama calon sebaik Bersatu berbuat perkara sama.Langkah itu dibuat selepas Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatannya secara sukarela sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan pada 25 Disember lepas.Kemelut itu terjawab apabila ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kesembilan pada Ahad.Mengulas lanjut, Wan Saiful berpandangan, kelemahan Muhyiddin sebenarnya disedari banyak pihak sejak tahun lepas lagi.Ini kerana menurut beliau, pihaknya sebelum ini pernah mendedahkan bahawa sejak Disember 2024, Pas telah menulis surat kepada Muhyiddin dan mencadangkan beberapa penambahbaikan yang signifikan untuk PN.Bagaimanapun, jelasnya, tiada apa-apa tindakan diambil walaupun kelemahan dikenalpasti."Bagi saya, cadangan sesetengah pihak untuk Pas meninggalkan PN tidak betul. Janggal apabila kita bercakap mengenai penyatuan ummah, tetapi kemudian memilih cara yang memecahkan kesatuan sedia ada."Langkah lebih baik adalah Pas mengambil alih kerusi Pengerusi PN dan melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan," ujarnya.Kata Wan Saiful lagi, komponen lain seperti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mesti menerima Pas sebagai Pengerusi PN dengan hati terbuka."Saya sedar ada kebimbangan dalam kalangan parti komponen PN bukan Melayu. Tetapi, jika disusun dengan baik, ia boleh diuruskan. Kita mesti ingat, Pas bukan parti budak-budak dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan."Setelah itu, laksanakanlah apa yang perlu untuk menghidupkan semula MN bagi membolehkan semua pihak, termasuk badan-badan bukan politik bersatu dalam agenda sama. Itu penyatuan sebenar," jelasnya.Wan Saiful memaklumkan bahawa cadangan untuk Pas mengambil alih kerusi Pengerusi PN diutarakan lebih dari setahun, namun dipendam tanpa sebarang tindakan."Saya harap Pas tidak meneruskan pendekatan ini. Pertukaran sepatutnya dilaksanakan lebih awal."Mungkin sahaja krisis Perlis dapat dielakkan kerana budaya musyawarah Pas jauh lebih baik berbanding 'aku berkuasa untuk bagi arahan' yang diamalkan Muhyiddin sejak setahun dua tahun ini," ulas Wan Saiful.