KUALA LUMPUR – Terlibat dalam kes bunuh, jenayah kekerasan dan kegiatan mengutip wang perlindungan antara perbuatan dibongkar susulan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang yang aktif di Kedah dan Pulau Pinang menerusi satu operasi khas, baru-baru ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai kira-kira 35 ahli dan bergerak aktif di kawasan Sungai Petani, Kulim serta beberapa lokasi di Pulau Pinang."Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah berunsur kekerasan termasuk rompakan, mendatangkan kecederaan parah, kes bunuh serta pengedaran dadah selain memeras ugut dan mengutip wang perlindungan daripada mangsa."Bertindak hasil risikan dan maklumat, polis melancarkan satu operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Tiga melibatkan kerjasama JSJ Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kedah serta Cawangan Khas Bukit Aman," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin.Katanya, hasil operasi yang dijalankan dari 27 November hingga 4 Disember lalu itu, seramai 17 ahli kumpulan berkenaan berusia antara 24 hingga 42 tahun berjaya diberkas."Semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, rompakan berkumpulan, penggunaan senjata api, mendatangkan kecederaan parah dan pengedaran dadah."Daripada jumlah tersebut, tujuh individu dikenal pasti pernah ditahan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan pada tahun 2020 dan disabitkan hukuman penjara selama lima tahun sebelum dibebaskan pada Januari 2024," katanya.Menurutnya, selepas dibebaskan, mereka dipercayai kembali aktif dan terlibat semula dalam kegiatan jenayah terancang serta bertindak lebih agresif."Kesemua 17 suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan polis menumpaskan keseluruhan rangkaian kumpulan jenayah berkenaan."Pendekatan ini diambil kerana kumpulan ini tidak bergerak secara individu, sebaliknya mempunyai struktur dan hierarki tersusun termasuk pasukan penyerang, kumpulan kutipan kewangan serta pengedaran dadah," katanya.Jelasnya, pada 23 Disember lalu, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak pendakwaan mengarahkan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan."Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Sungai Petani pada 30 Disember ini," katanya.Dalam perkembangan sama, Datuk M Kumar memaklumkan, polis masih giat memburu baki ahli kumpulan yang masih bebas termasuk ketua utama sindiket berkenaan."Usaha mengesan dan menangkap mereka sedang dijalankan secara agresif."Polis percaya dengan penahanan ini, kegiatan kumpulan jenayah tersebut dapat ditumpaskan sepenuhnya dan ancaman terhadap keselamatan awam dapat dibendung," katanya.Beliau turut menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan jenayah terancang dan akan terus mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.