KRW FC perjelas sekatan FIFA

SEKATAN perpindahan pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Kelantan Red Warrior (KRW) FC sejak 19 Disember lalu memberi kesan langsung kepada perancangan pasukan bagi menghadapi saingan musim ini, khususnya melibatkan urusan pendaftaran pemain baharu.Pengurusan kelab Liga A1 Semi-Pro itu dalam satu kenyataan media menjelaskan, sekatan tersebut berpunca daripada laporan bekas jurulatih Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas selain wujud cubaan mengaitkan kelab pantai timur tersebut dengan entiti kelab terdahulu sehingga mencetuskan tuntutan yang membawa kepada hukuman berkenaan oleh FIFA.Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan menegaskan KRW tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kelab sebelum ini dan telah mengemukakan penjelasan rasmi kepada FIFA pada awal musim lalu."Penjelasan rasmi telah diberikan dan diterima FIFA, sekali gus membolehkan kelab mendaftarkan pemain untuk beraksi pada musim ini."Namun, isu sama kembali timbul apabila kami cuba mendaftarkan pemain import baharu susulan pembukaan jendela perpindahan kedua," menurut kenyataan berkenaan.Kelab turut menjelaskan bahawa sebarang tuntutan atau isu melibatkan Pol Corpas yang berkhidmat bersama kelab lain pada musim 2022/2023 perlu dirujuk kepada pengurusan bekas kelab terbabit, memandangkan KRW FC hanya ditubuhkan pada 2024 dan tidak terlibat dalam sebarang permasalahan terdahulu.Dalam pada itu, pengurusan semasa menegaskan pentadbiran kelab kini merupakan entiti baharu sepenuhnya selepas mengambil alih pengurusan bermula Ogos lalu, melibatkan struktur organisasi dan operasi yang berbeza serta tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kelab yang menjadi punca kepada isu berkenaan."Perkara ini membuktikan pentadbiran kelab ketika ini adalah 100 peratus berbeza dan tidak terlibat dengan laporan yang dibuat oleh Pol Corpas," jelas kenyataan itu.Sehubungan itu, pihak kelab menyeru semua pihak, khususnya penyokong setia, agar merujuk kepada saluran rasmi kelab bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta mengelakkan kekeliruan akibat penyebaran maklumat tidak disahkan.Kelab turut mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat agar pasukan dapat kekal fokus mengharungi baki saingan musim ini tanpa gangguan, demi memastikan prestasi serta hala tuju pasukan tidak terjejas.Sebagai rekod, Pol Corpas yang pernah bertugas sebagai pembantu pengendali dan penganalisis video Kelantan FC, difahamkan membawa kes ke FIFA bagi menuntut kira-kira tunggakan gaji RM40,000 yang masih belum dibayar.Beliau kini dikenali sebagai Pol Abu Bakar selepas memeluk agama Islam pada tahun 2023.