KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu laporan daripada CyberSecurity Malaysia (CSM) yang disifatkan sebagai salah satu bukti penting dalam siasatan kes tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka pada bulan lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, laporan analisis forensik terhadap rakaman audio yang diserahkan oleh pihak pengadu masih belum diterima setakat ini."Rakaman audio berkenaan telah dihantar untuk dianalisis bagi mengesahkan ketulenan serta mengenal pasti suara yang didakwa berkait dengan kejadian berkenaan."Rakaman audio itu merupakan salah satu elemen penting dalam siasatan dan kita masih menunggu laporan rasmi daripada CSM sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin.Beliau berkata, selain analisis audio, polis turut mengambil sampel perbandingan suara daripada ahli keluarga pengadu serta pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkenaan bagi tujuan pengesahan.Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan serta nasihat lanjut sebaik laporan forensik diterima.Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Melaka terbuka menerima keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan siasatan kes tembakan melibatkan tiga suspek di Durian Tunggal diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya sejak awal telah menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada Bukit Aman.Beliau berkata, pihaknya tidak masuk campur langsung dan ini menunjukkan ketelusan dalam menjalankan siasatan serta tidak berat sebelah dan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat.Pada Selasa, AGC mengarahkan siasatan kes melibatkan tiga lelaki yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.Pada 24 November lalu, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira jam 4.30 pagi, sehingga menyebabkan mangsa cedera parah pada lengan kirinya.Kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan RM1.35 juta.