Padah curi wang ibu RM130,000, suri rumah didenda RM35,000

KOTA TINGGI - Seorang suri rumah didenda RM35,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku salah atas pertuduhan mencuri wang simpanan RM130,000 milik ibu kandungnya hingga mengakibatkan warga emas tersebut tidak dapat menunaikan haji.Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norhasikin Abu Bakar, 31, mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.Mahkamah kemudiannya memerintahkan agar tertuduh dipenjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita tersebut didakwa mencuri wang berjumlah RM100,000 menggunakan aplikasi THiJARI milik ibunya yang berusia 67 tahun dengan niat mencuri wang berkenaan bagi tujuan peribadi di Felda Gugusan Adela di sini pada jam 10 pagi, 21 Ogos lalu.Bagi pertuduhan kedua , wanita itu didakwa mencuri sebanyak RM30,000 menggunakan kad ATM Bank Islam juga milik ibunya dengan niat sama di Bank Islam cawangan Bandar Penawar di sini pada waktu dan hari yang sama.Bagi kedua-dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang lebih ringan kerana tidak mempunyai pendapatan sementara suaminya yang bekerja juga tidak mempunyai pendapatan tetap.Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri bagaimanapun memohon hukuman setimpal memandangkan kerugian RM130,000 itu dialami oleh ibu kandung tertuduh sendiri dan wang berkenaan belum diperoleh semula warga emas berkenaan.Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 bagi pertuduhan kedua.Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu ibu tertuduh mendapati anaknya telah menggunakan aplikasi THiJARI miliknya tanpa kebenaran dan pengetahuannya dengan memindahkan wang dari akaun Tabung Hajinya berjumlah RM100,000 bagi tujuan peribadi.Pada hari yang sama, pengadu mendapati, tertuduh menggunakan kad ATM Bank Islam miliknya tanpa kebenaran dan tanpa pengetahuannya telah melakukan tiga kali transaksi pengeluaran wang sehingga berjumlah RM30,000 juga bagi tujuan peribadi.Polis yang kemudian menerima laporan dibuat pengadu telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, pukul 4.30 petang pada 26 Oktober lalu.Hasil siasatan berdasarkan penyata kewangan Bank Islam dan Tabung Haji mendapati, tertuduh telah mengaku mengambil wang milik ibunya itu bagi tujuan kegunaan peribadi.