UALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam insiden tembak mati tiga lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal pada 24 November lalu tidak terlibat dalam sebarang penugasan aktif ketika ini, sementara siasatan terhadap kes berkenaan dijalankan.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh."Siasatan dalaman turut dijalankan oleh Unit Integriti PDRM, termasuk siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) selain siasatan jenayah yang sedang berjalan."Kes ini masih dalam siasatan dan buat masa ini, pegawai serta anggota yang terlibat tidak menjalankan penugasan aktif," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Isnin.Jabatan Peguam Negara pada Selasa mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.Menurut AGC, pihaknya telah dirujuk berhubung laporan kes berkenaan dan berdasarkan taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan itu bersetuju untuk mengarahkan klasifikasi semula siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di lengan kiri.Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini memaklumkan kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun 2024 dan terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.35 juta.Bagaimanapun, pada 3 Disember lalu, ahli keluarga ketiga-tiga suspek menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan semasa kejadian.