Tiada unsur ekstremisme, kumpulan jenayah terancang dalam kes letupan IED Nilai – Polis

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang unsur ekstremisme atau kaitan dengan mana-mana kumpulan atau organisasi dikenal pasti setakat ini dalam siasatan kes letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di kawasan parkir berhampiran Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan tidak berkait dengan mana-mana rangkaian jenayah terancang atau kumpulan ekstremis."Setakat ini, siasatan awal kita tidak mengenal pasti sebarang elemen ekstremisme atau kaitan dengan mana-mana kumpulan atau organisasi."Kes ini berkemungkinan merupakan kejadian terpencil, namun siasatan lanjut masih dijalankan secara menyeluruh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Isnin.Jelasnya, siasatan kini menjurus kepada kandungan bahan tersebut, tujuan ia digunakan, sasarannya dan sama ada terdapat pembabitan rakan atau elemen lain."Latar belakang suspek masih dalam siasatan dan usaha merakam percakapan sedang dijalankan memandangkan suspek kini masih menerima rawatan di hospital."Suspek masih ditahan di hospital dan kita menunggu laporan perubatan bagi menentukan keupayaannya untuk memberi keterangan. Proses siasatan tetap berjalan," katanya.Menurut beliau, suspek kini direman sehingga 3 Januari bagi membantu siasatan dan polis memohon ruang serta masa untuk melengkapkan siasatan tanpa membuat sebarang kesimpulan awal yang boleh menjejaskan proses berkenaan."Kes ini menarik perhatian orang ramai, namun kami memohon agar diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh," katanya.Terdahulu, suspek lelaki berusia 62 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden berkenaan ditahan ketika dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berhampiran Batang Benar, Nilai.Suspek yang merupakan warga tempatan itu ditemui dengan kesan kecederaan melecur pada muka, tangan dan kaki selepas dipercayai bersembunyi di kawasan hutan sejak kejadian letupan tersebut.Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan keadaan kesihatannya dilaporkan masih tidak mengizinkan pihak polis untuk merakam percakapannya setakat ini.Peranti letupan buatan sendiri itu dipercayai meletup di dalam sebuah kereta ketika suspek dikatakan sedang mengalihkan peranti berkenaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian dalam insiden yang berlaku awal pagi 22 Disember lalu.