SHAH ALAM – Setiap keputusan politik yang dibuat Pas bukan bersifat spekulatif atau berdasarkan percaturan singkat, sebaliknya melalui penelitian menyeluruh terhadap risiko dan implikasi jangka panjang.Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, Pas bukan parti yang 'main dadu' dalam menentukan hala tuju politik tetapi bergerak berasaskan prinsip, pengalaman serta pertimbangan kepentingan ummah.Menurut beliau, pengalaman pembentukan Muafakat Nasional (MN) dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN) membuktikan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu sentiasa mengambil kira kesan keputusan terhadap keseluruhan landskap politik Melayu-Islam."Pas pula (ketika itu) berdepan ultimatum (sama ada) bersama UMNO tanpa Bersatu atau bina satu gabungan besar yang merangkumi semua parti Melayu (termasuk) UMNO dan Bersatu."Pas memilih jalan tidak meninggalkan sesiapa. UMNO pula memilih risiko tidak bersama dalam PN. Hasilnya politik bergerak seperti yang kita saksikan hari ini."Ini penting difahami, tiada pihak yang tersalah semata-mata (kerana) masing-masing membuat pilihan dan setiap pilihan ada kosnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Kenyataan tersebut hadir selepas polemik krisis politik Perlis ekoran dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, menyatakan tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.Susulan itu, tiga ADUN daripada Pas iaitu Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) digugurkan daripada parti terbabit.Sementara itu mengulas kemelut politik di Perlis, Mohd Mazri menegaskan, tindakan Pas Pusat bukan mengenai negeri sebaliknya sentimen ahli di seluruh negara."Pas tahu satu hakikat yang pahit tetapi benar (iaitu) ramai ahli lebih selesa dengan MN berbanding PN. Jika rasa tidak puas hati ini dibiarkan, letupannya bukan di Perlis sahaja, tetapi di seluruh negara."Maka Pas Pusat memilih risiko memadam api sebelum merebak demi ketenangan jangka panjang jemaah serta rakan sepakatan dan ini yang tidak dapat dibaca oleh sebahagian kepimpinan Pas di Perlis," ujarnya.Menurut Mohd Mazri, Pas sedar bahawa tidak semua keputusan akan disenangi semua pihak, namun keberanian sebenar dalam politik ialah kesanggupan menanggung risiko demi prinsip."Pas bukan parti yang bermain dadu. Setiap langkah sudah dikaji, ditimbang dan diambil kira kesan jangka pendek dan panjang."Kadang-kadang keputusan tidak menggembirakan semua orang. Itu normal, tetapi satu perkara konsisten sejak dahulu hingga kini, bila Pas buat keputusan, percayalah risiko itu bukan tidak disedari, tetapi telah diterima dengan sedar."Dalam politik, keberanian sebenar bukan hanya berani melawan musuh, tetapi berani menanggung risiko demi prinsip dan kesatuan jemaah," katanya.