‘Yang lemah sila turun’ – Afnan Hamimi desak Presiden Pas dilantik Pengerusi PN

SHAH ALAM – "Dengan apa yang berlaku di Perlis ini, layak sangatlah Pas mengambil alih mengetuai Perikatan Nasional (PN), (lantik) Presiden Pas sebagai Pengerusi PN, (wujudkan) PN 2.0 dan Muafakat Nasional (MN) 2.0."Demikian cadangan yang dilontarkan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden kerana mendakwa, krisis politik di Perlis jelas membuktikan kegagalan rakan gabungannya dalam PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengawal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.Afnan Hamimi menegaskan, ‘kawan’ mereka itu gagal mengawal ADUN partinya yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Menteri Besar dari Pas, Mohd Shukri Ramli."Didesak ambil tindakan tegas seperti Pas ambil tindakan terhadap tiga bekas ADUN Pas sehingga kini tiada tindakan. Bahkan, dihantar pula nama untuk jadi Menteri Besar."Tak bagi arahan tapi tak ambil tindakan. Kedua-duanya membawa maksud merestui tindakan. Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah."Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.Terdahulu, muka depan Sinar Harian melaporkan di sebalik khabar gembira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 pada Ahad, ia bagaikan 'duri dalam daging' hubungan PN antara Bersatu dan Pas.Pimpinan-pimpinan utama Pas mula memberi isyarat dan amaran buat Bersatu termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang membuat naik status 'retak menanti belah' dalam media sosialnya.Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula seolah-olah memberi bayangan bahawa Pas mungkin akan bekerjasama semula dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Rabu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilapor berkata, keahlian tiga ADUN Pas di Perlis terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) susulan tindakan mereka menolak kepimpinan Mohd Shukri.Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman, ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.PN ditubuhkan pada Februari 2020 sebagai gabungan politik baharu selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dengan matlamat membentuk kerajaan Persekutuan berasaskan kerjasama parti-parti Melayu-Islam dan rakan sekutu dari Sabah serta Sarawak.Pada peringkat awal, PN dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi dan Perdana Menteri kelapan, sebelum gabungan itu berkembang menjadi entiti politik rasmi yang disertai Pas, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa parti lain, kemudiannya bertanding secara rasmi dalam Pilihan Raya Umum ke-15.Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, rakan yang mengkhianati tidak boleh terus dijadikan sebagai kawan.Malah, beliau turut menggesa supaya rakan gabungan mereka itu untuk turun daripada jawatan yang disandang ketika ini."Yang khianat tak boleh dibuat kawan! Yang lemah tak boleh jadi ketua! Yang khianat, sila berambus! Yang lemah, sila turun!," tegasnya lagi.