DUNGUN - Dua lelaki termasuk seorang warga Pakistan maut manakala enam lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas di Kilometer 3, Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah dekat sini pada Isnin.Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kejadian pada jam 7.34 pagi itu menyebabkan Muhammad Asyraf Mohd Zahir, 21, dan warga Pakistan, Siraj Noman, 27, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.Beliau berkata, enam yang cedera terdiri daripada seorang warga tempatan dan lima warga asing berusia 30 hingga 40 tahun, dengan kesemuanya kini dirawat di Hospital Dungun."Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Nyior ke Santong di Paka untuk melakukan kerja-kerja projek pendawaian elektrik."MPV jenis Toyota Avanza berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang tiang lampu," katanya dalam kenyataan.Maizura berkata, sepasukan anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.Kemalangan berkenaan disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama