PUTRAJAYA - Kira-kira 40 syarikat kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam pemberian wang rasuah berkaitan projek perolehan Tentera Darat, dengan siasatan dijalankan secara berperingkat.Menurut sumber, siasatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan melibatkan aspek aliran kewangan, dokumentasi perolehan serta kaitan antara individu dan syarikat yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan."SPRM sedang meneliti kira-kira 40 syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah dan siasatan ke atas syarikat-syarikat ini dibuat secara berperingkat," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat setakat ini, manakala jumlah keseluruhan saksi yang telah dipanggil bagi membantu siasatan mencecah 10 orang."Saksi-saksi utama melibatkan kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan Tentera Darat turut dipanggil bagi membantu siasatan," katanya.Menurutnya, siasatan tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF).Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sebelum ini mengesahkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan Akta SPRM 2009 dan akan diperluaskan sekiranya terdapat bukti baharu.Pada 24 Disember lalu, SPRM merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berhubung maklumat berkaitan dakwaan aliran tunai besar ke dalam akaun seorang pegawai Tentera Darat dan ahli keluarganya.Chegubard sebelum ini mendakwa audit forensik dokumen tanpa nama menunjukkan kemasukan wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan, selain pemindahan dana lebih besar mencecah ratusan ribu ringgit daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.SPRM menegaskan siasatan masih berjalan dan semua dakwaan akan dinilai secara profesional berdasarkan bukti serta peruntukan undang-undang sedia ada.