PUTRAJAYA – Seorang bekas menteri dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berupa wang tunai kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah berjenama Lamborghini yang dipercayai berkait dengan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.Menurut sumber, berdasarkan maklumat awal yang diterima SPRM, wang berkenaan dipercayai diterima daripada sebuah syarikat pemaju, manakala kereta mewah itu pula didakwa disumbangkan oleh sebuah syarikat pembuat papan iklan."Bekas menteri terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk dirakam keterangan."Siasatan kini berada pada peringkat mengesan punca pembayaran serta pemilikan kereta mewah berkenaan," katanya pada Isnin.Sumber sama memaklumkan, bagi kes berkaitan tanah, siasatan awal mendapati beberapa lot tanah yang sebelum ini digazetkan bagi pembinaan surau dipercayai telah dipindah milik kepada sebuah syarikat proksi."SPRM sedang meneliti proses serta kelulusan pemindahan tanah berkenaan bagi mengenal pasti sebarang elemen salah guna kuasa atau penerimaan suapan," katanya.Menurutnya, setakat ini seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan serta pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka membabitkan bekas menteri berkenaan.Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan."Buat masa ini, tiada sebarang sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan," katanya ringkas.