Gagal tuntut RM100,000 punca pergaduhan bersenjata

JOHOR BAHRU – Insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjata di Taman Mount Austin pada Sabtu dikenal pasti berpunca daripada rasa tidak puas hati susulan kegagalan menuntut semula wang berjumlah RM100,000.Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 27 tahun menemani rakannya di hadapan sebuah restoran bagi tujuan perbincangan."Siasatan awal mendapati rakan mangsa telah meminjamkan akaun bank miliknya kepada salah seorang suspek, dan sejumlah RM100,000 telah dimasukkan ke dalam akaun tersebut."Wang itu kemudian dikeluarkan secara berperingkat-peringkat oleh rakan mangsa, menyebabkan suspek berasa tidak puas hati dan menuntut bayaran balik."Ketika perbincangan berlangsung, dipercayai berlaku perselisihan faham yang membawa kepada serangan terhadap mangsa oleh sekumpulan lelaki, manakala rakan mangsa berjaya melarikan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di sebuah hospital di bandar raya ini serta dilaporkan stabil.Beliau berkata, kejadian tersebut tidak membabitkan isu kongsi gelap atau sindiket ceti haram (along), sebaliknya berpunca daripada pertikaian pinjaman perniagaan secara peribadi."Setakat ini, seramai 13 individu telah ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu, terdiri daripada 12 lelaki serta seorang wanita warganegara Vietnam yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek."Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 40 tahun, dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis ketamin."Kesemua 12 suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Sabtu ini, manakala suspek wanita direman tiga hari sehingga esok (Selasa), di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya masih terdapat suspek yang bebas serta untuk mengesan senjata-senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.Kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.