‘Beri ruang mufti berbicara, menasihati’ - Mufti Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM – Golongan mufti perlu diberikan ruang untuk menasihati dan menyuarakan pandangan tanpa terus menjadi sasaran kritikan, khususnya apabila nasihat yang disampaikan itu melibatkan kepentingan umat Islam serta negara.Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, mufti sering berdepan kecaman setiap kali tampil memberi pandangan, sedangkan peranan utama mereka adalah untuk menasihati masyarakat dan pemerintah tanpa sebarang kepentingan politik atau jawatan."Berilah mufti hak bersuara sedikit. Mufti-mufti sentiasa menjadi sasaran hentaman apabila memberi nasihat."Sepatutnya berilah ruang untuk mufti berbicara kerana mereka diberi peranan untuk menasihati, tidak ada kepentingan untuk berebut jawatan atau bertanding," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.Hantaran berkenaan turut kongsikan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung saranan pihak tertentu supaya mufti hanya bercakap soal agama dan tidak mengulas mengenai hal politik.Sebelum ini, Mohd Asri mendakwa mengenai kewujudan sumpah baiah yang dikenakan oleh sebuah parti politik terhadap barisan kepemimpinannya, yang dipercayai merujuk kepada Pas susulan polemik politik yang berlaku Perlis ketika ini.Menurut Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, lafaz baiah daripada parti itu didakwa menuntut pemimpin parti menceraikan isteri mereka, sekiranya berlaku pelanggaran.Ahli Parlimen Bachok yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mencabar Mohd Asri supaya menunjukkan bukti sumpah baiah berkenaan.Ujar Ahmad Fauwaz, nasihat yang disampaikan mufti adalah berlandaskan keinginan untuk melihat negara berada dalam keadaan aman dan makmur, selari dengan prinsip Syariah serta Maqasid Syariah.Sehubungan itu, beliau berharap agar masyarakat dapat memberikan ruang dan hak kepada mufti untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh mereka."Dalam jiwa kami adalah untuk melihat negara ini aman dan makmur berteraskan Syariah dan Maqasid Syariah," ujarnya.