Kartel tetap harga: 31 perusahaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak berdepan penalti

KUALA LUMPUR – Sebanyak 31 perusahaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan bakal berdepan penalti atas dakwaan terlibat dalam kartel penetapan harga.Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun, berkata kesemua perusahaan itu, pada peringkat cadangan, didapati melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(a) dan Seksyen 4(3) Akta Persaingan 2010 [Akta 712].Menurut beliau, hasil penyiasatan MyCC mendapati perusahaan berkenaan bukan sahaja berbincang, malah akhirnya bersetuju dengan cadangan untuk menetapkan harga lantai semasa mesyuarat persatuan pada September 2023."Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut kemudiannya disampaikan kepada semua pihak yang hadir menerusi satu memorandum. Susulan itu, satu pengumuman awam turut dibuat melalui Facebook rasmi persatuan."Ia menyatakan bahawa pengusaha pusat penjagaan kanak-kanak sebulat suara bersetuju untuk menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, berkuat kuasa mulai 2024."MyCC mendapati perjanjian ini mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.Idrus menegaskan bahawa pada peringkat terkini, keputusan cadangan itu hanyalah dapatan awal dan tidak boleh dianggap sebagai bukti konklusif bahawa kesemua perusahaan terbabit telah melanggar Akta 712.Tambah beliau, perusahaan berkenaan turut dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan."Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian."MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan muktamad selepas mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh perusahaan terbabit bersama-sama bukti yang diperoleh sepanjang penyiasatan," katanya lagi.